SIARAN MEDIA: LIGA WANITA NASIONAL 2025 - TAHUN PENCAPAIAN GEMILANG BOLA SEPAK WANITA MALAYSIA
Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 menutup tirainya dengan penuh kejayaan, menandakan satu lagi tahun cemerlang buat pembangunan dan prestasi bola sepak wanita Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.
Pasukan dari Sabah muncul sebagai Juara Liga Wanita Nasional 2025, hasil prestasi konsisten dan semangat juang tinggi sepanjang musim. Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat martabat pasukan, malah menjadi simbol kemajuan bola sepak wanita negara.
Susulan pencapaian tersebut, Sabah FA layak untuk dicalonkan ke AFC Women’s Champions League (ACWL) mewakili Malaysia, sekali gus membuka ruang persaingan di pentas benua.
Dalam usaha memastikan kesinambungan pembangunan liga, Unit Bola Sepak Wanita FAM dengan sukacitanya mengumumkan bahawa sesi Liga Wanita Nasional 2026 akan bermula pada April 2026, selari dengan perancangan jangka panjang bagi meningkatkan kualiti pertandingan dan penglibatan kelab.
Selain itu, landskap bola sepak wanita akan terus dirancakkan dengan penganjuran Liga Puteri 2026 yang lebih meriah menerusi dua divisyen iaitu Divisyen 1 dan Divisyen Elite.
Inisiatif ini bertujuan memperluas laluan pembangunan bakat muda serta memperkukuh ekosistem kompetitif dari peringkat akar umbi hingga elit.
Di peringkat antarabangsa, bola sepak wanita Malaysia berada pada tahap terbaik dengan pencapaian membanggakan dalam ranking dunia FIFA Wanita 2025 apabila pasukan negara melonjak 11 anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-91 dunia.
Peningkatan ini mencerminkan hasil usaha berterusan semua pihak termasuk FAM, pemain, pengurusan dan pemegang taruh.
Liga Wanita Nasional komited untuk terus memperkasa bola sepak wanita Malaysia, melahirkan lebih ramai bakat berkualiti dan memastikan negara kekal kompetitif di peringkat serantau serta antarabangsa.
Unit Bola Sepak Wanita, FAM
* Siaran media ini dikeluarkan pada Isnin, 29 Disember 2025
